# #

Monday, December 5, 2016

PEMBINA Sabah

Ketua Beliawanis PEMBINA Sabah Menangi Award dalam Seoul International Invention Fair (SIIF) 2016

Oleh : Anis Sakinah Lokman Hakim



KOTA KINABALU, 6 Dis –  Ketua Beliawanis Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Sabah, Wahidatul Husna Zuldin, yang juga merupakan pelajar siswazah Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah memenangi 'Bronze Prize’ dalam Seoul International Invention Fair (SIIF) 2016 yang diadakan di Seoul, Korea, baru-baru ini. 




Beliau yang merupakan salah seorang daripada 64 orang peserta dari Malaysia telah membentangkan kajian yang bertajuk ‘Customized Seaweed Tank Culture System, Kappa Tank TM’.

Ketika ditemui, Wahidatul berkata, "Alhamdulillah, pingat ini menjadi bukti bahawa umat Islam mampu untuk bawa nama ke peringkat dunia, bahkan ramai lagi yang beragama Islam yang saya lihat menerima anugerah dalam pameran yang diadakan ini."

Tambahnya lagi, "Umat Islam ini hebat jika bersungguh dalam menjaga hubungan dengan Allah kerana dunia akan datang dengan sendirinya jika meletakkan akhirat sebagai matlamat utama."


Sebelum ini, beliau juga telah dianugerahkan 'Silver Award' atas kajian beliau iaitu 'Successful Attempt of Seaweed (Kappaphycus sp.) Farming using Kappa Tank' di 27th International Invention & Innovation Exhibition 2016.


Seoul International Invention Fair 2016 ini telah dianjurkan oleh Korea Invention Promotion Association (KIPA) pada 1 – 4 Disember 2016 dan merupakan antara pameran ciptaan antarabangsa terbesar dunia. 

Pada tahun ini saja, seramai 639 peserta dari 31 negara telah mengambil bahagian dalam pameran ini.

Tahniah Wahidatul Husna!
Read More

Tuesday, October 25, 2016

PEMBINA Sabah

PEMBINA UMS Anjur Bengkel Video untuk Mahasiswa


Oleh : Zada Qusyairin 


KOTA KINABALU, 23 Okt – Bengkel Video Kombinasi Sony Vegas dan Adobe Photoshop telah dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UMS dengan kerjasama PEMBINA cawangan Sabah di Kingfisher, baru-baru ini.
Bengkel ini dianjurkan sebagai salah satu inisiatif untuk membantu para mahasiswa dalam membuat tugasan video khususnya, sekaligus mencungkil bakat media di dalam diri mahasiswa dan menjadikan ianya sebagai platform bagi mahasiswa beraktivisme melalui pakej Media PEMBINA.
"Besar harapan kami pada para peserta yang hadir ke bengkel ini untuk menggunakan kemahiran yang telah dipelajari ke arah perkara-perkara yang bermanfaat seperti membuat tugasan univesiti dan menggunakannya untuk menyebarkan kebaikan terutamanya dalam menyebarkan syiar Islam" kata Anis Sakinah Lokman Hakim, Ketua Media PEMBINA Cawangan Sabah kepada para peserta yang terdiri dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS).
Tenaga pengajar bengkel ini, Ismail Azran Mohamad merupakan Mahasiswa Pengajian Pendidikan dengan Sains Tahun 3, UMS telah menekankan penggunaan Sony Vegas dalam membuat video dengan menggunakan bantuan Adobe Photoshop.
"Kemahiran ini harus sentiasa dipraktiskan agar ilmu yang dipelajari tidak dilupakan dan ianya sedikit sebanyak dapat meningkatkan kualiti mahasiswa di pasaran dengan menguasai kemahiran di luar bidang kursus yang diambil", ujar Syifa Sarip, Ketua Beliawanis PEMBINA UMS.
Bengkel ini telah berlangsung selama 3 jam dan berakhir pada pukul 5 petang.
Read More

Sunday, October 23, 2016

PEMBINA Sabah

Briged Masjid : Bergotong Royong bersama Orang Kampung


Oleh : Anis Sakinah Lokman Hakim





KOTA KINABALU, 23 Okt – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Sabah telah menganjurkan sebuah program yang dinamakan ‘Briged Masjid’ di Masjid Ar-Raudhah, Kampung Bandulan baru-baru ini.

Program ini menjadi satu medium bagi mahasiswa untuk berbakti dengan masyarakat luar disamping mewujudkan jalinan permuafakatan bersama orang-orang kampung di Kampung Bandulan.

Ketua Kampung Bandulan, Ustaz Haji Ramli bin Ungking, berkata program seperti ini harus dijadikan contoh oleh badan-badan bukan kerajaan serta persatuan-persatuan yang lain kerana ia bukan sahaja memberi peluang pada mahasiswa untuk berbakti pada masyarakat, tetapi turut membuka ruang kepada penduduk kampung untuk ikut serta dalam menjayakan program tersebut.

“Matlamat PEMBINA adalah untuk melahirkan mahasiswa yang terlibat secara aktif dengan  aktivisme belia yang mana antaranya adalah melalui pakej Bakti sekaligus dapat menerapkan peranan mahasiswa dikalangan masyarakat agar mereka sedar bahawa mereka adalah agen perubahan masa hadapan", kata Nurul Syafiqah Lokman, Pengarah Program Briged Masjid.


Bila ditanya komen salah seorang peserta daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS), Nurul Aina Iberahim, "Saya rasa sangat seronok kerana dapat bersama-sama mencurahkan bakti bersama orang-orang kampung di sini dan saya dapat rasai bahawa program kebajikan seperti ini harus disertai oleh mahasiswa seperti kami”. 
Read More

Monday, August 8, 2016

PEMBINA Sabah

PEMBINA Sabah Anjur Street Dakwah Dalam Program ‘Teach the Needy’



Oleh : Anis Sakinah Lokman Hakim




KOTA KINABALU, 7 Ogos – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Sabah telah meneruskan komitmen dalam menyantuni masyarakat setempat dengan program ‘Teach the Needy: Teach the Basics in Ad-Deen’ yang berlangsung di Kampung Air, semalam.

Belia yang terlibat di dalam program ini terdiri daripada mahasiswa Politeknik Kota Kinabalu (PKK), Institut Kemahiran Mara (IKM) Kota Kinabalu, Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Sabah, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Kinabalu dan juga Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Pendekatan ‘Teach the Needy’ pada kali ini agak berbeza berbanding sebelumnya, yang mana ia menuntut para mahasiswa untuk membina hubungan baik dengan anak-anak jalanan ini supaya mereka dapat mengajar anak-anak tersebut tentang asas-asas agama secara bersiri.


“Pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana dapat mengajar kanak-kanak yang tidak berkemampuan untuk bersekolah namun masih mempunyai semangat yang tinggi untuk belajar. Kali ini, surah Al Fatihah menjadi bahan pengajaran kami dan saya melihat bahawa masyarakat Islam di Sabah ini masih memerlukan perhatian kita semua untuk meningkatkan pengetahuan rohani dan mengukuhkan aqidah mereka,” kata Siti Nurafifih Osman, salah seorang mahasiswi yang terlibat.

Program ini telah menjadi salah satu program yang diketengahkan sebagai satu platform kepada para mahasiswa yang berminat untuk menjadi sukarelawan dengan mendaftar sebagai ahli I-Volunteer (IAMPEMBINA Volunteer) yang sahaja dilancarkan baru-baru ini.


“Teach The Needy ini adalah satu bukti yang menunjukkan bahawa masyarakat Islam masih dahagakan sentuhan rohani dalam menjalani kehidupan seharian mereka. Jadi, dengan adanya platform I-Volunteer ini, kami berharap para mahasiswa bukan sahaja dapat mendalami realiti masyarakat setempat, bahkan memberi peluang kepada mereka untuk berbakti kepada masyarakat dengan pelbagai pendekatan berlandaskan Al-Quran dan Sunnah,” ujar Faridah Abdul Manap, selaku Biro Aktivisme PEMBINA. 



Read More

Saturday, May 14, 2016

PEMBINA Sabah

PEMBINA FITNESS: Tuntut Sihat Fizikal serta Dedah Isu Palestin


Oleh : Anis Sakinah Lokman Hakim





KOTA KINABALU, 14 Mei - "Kesyumulan Islam dalam setiap aspek kehidupan termasuklah menuntut kita untuk fizikal yang sihat dan kuat. " ujar Syifa' Sarip selaku Biro Aktivisme PEMBINA UMS.

Beliawanis Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Sabah telah mengadakan ‘PEMBINA Fitness’ yang turut dihadiri oleh beberapa orang peserta  terdiri daripada mahasiswi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu (ILPKK) dan Institut Kemahiran Mara Kota Kinabalu (IKMKK), semalam.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah Senam Ruhul Jadid, Larian Berkumpulan 400m dan ‘Walking Lunges’ serta bertemakan ‘Palestin, Mu Tunggu Aku Datang’, program  ini telah mendedahkan sedikit sebanyak kepada mahasiswi tentang pentingnya untuk sentiasa mengambil tahu tentang isu Palestin,  sempena Nakbah Palestin yang ke-68 pada hari ini.

Selain itu, para peserta juga turut diingatkan tentang penubuhan tanah Palestin dan seterusnya kepentingan mempertahankan tanah Palestin sepertimana hadis Rasulullah yang mengatakan bahawa sesiapa yang tidak mengambil tahu tentang urusan orang-orang Islam, maka ia tidak termasuk daripada kalangan mereka.

"Kalau bukan kita yang mempertahankannya, siapa lagi yang ingin mempertahankannya? Maka, perlunya ketahanan fizikal dan mental supaya  tidak mudah diserang dengan pelbagai serangan Yahudi termasuklah serangan pemikiran yang dilancarkan oleh mereka.", kata Anis Sakinah Lokman Hakim, Biro Media PEMBINA Cawangan Sabah.


Program ini telah berlangsung dengan selama 2 jam dan berakhir pada pukul 9.30 pagi.
Read More

Tuesday, April 19, 2016

PEMBINA Sabah

Junglar PEMBINA : Beliawanis Sabah Daki Bukit Tingkatkan Daya Tahan Tubuh Badan




Oleh : Anis Sakinah Lokman Hakim




TELIPOK, 19 April – “Beliawanis harus menjadikan aktiviti mendaki bukit sebagai salah satu aktiviti fizikal kerana ianya dapat meningkatkan kecerdasan dan kesihatan. Hal ini bertepatan dengan salah satu daripada sepuluh ciri peribadi muslim yang digariskan oleh Imam As-Syahid Hasan Al-Banna iaitu kuat tubuh badan,” kata Wahidatul Husna Zuldin, Ketua Beliawanis Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Sabah.

Seramai 25 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Kinabalu serta Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Sabah yang juga merupakan ahli-ahli beliawanis PEMBINA Sabah telah berjaya menawan Bukit Tirig, kelmarin.

Tujuan Beliawanis PEMBINA Sabah menganjurkan aktiviti seperti ini adalah untuk mendedahkan beliawanis tentang peri pentingnya untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang dapat menyihatkan tubuh badan serta secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi silaturrahim di antara para beliawanis.

“Pendakian ini sangat bermakna untuk saya kerana kami saling memberi semangat dan bekerjasama untuk menamatkan pendakian ini dan bagi saya aktiviti luaran seperti program ini akan lebih mengeratkan silaturrahim dalam kalangan peserta,” ujar Faiznur Azwah Abdul Hamid, salah seorang ahli beliawanis PEMBINA Sabah.

Selain aktiviti pendakian, para peserta juga telah didedahkan dengan sejarah Bukit Tirig serta keindahannya dan mengaitkannya dengan peranan seorang muslim terhadap alam sekitar serta renungan tentang ciptaan Allah SWT.

Misi menawan Bukit Tirig berakhir pada pukul 5 petang.
Read More

Sunday, April 10, 2016

PEMBINA Sabah

Bengkel Kewartawanan Ummah: Media Penting Untuk Dakwah

Oleh: Mohamad Sobri bin Mohamad Saupi






KOTA KINABALU, 9 April – “Media adalah medium yang penting untuk menyampaikan maklumat dan dakwah kepada masyarakat,” kata Nursabihah Mohtar, wartawan Harmoni yang juga panel penceramah Bengkel Kewartawanan Ummah anjuran Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Sabah dengan kerjasama Biro Penerangan Ikatan Muslimin Malaysia Kota Kinabalu (Isma KK) di Pejabat Isma KK, Kingfisher. 

Bengkel yang  bermula dari jam 7.30 pagi dan berakhir 3 petang itu telah dihadiri oleh peserta-peserta yang terdiri daripada wakil agensi yang bernaung di bawah Isma.

Bertemakan ‘Hanya dengan goresan pena, mampu menyampaikan kebenaran’, fokus utama program ini ialah untuk memberi pendedahan awal kepada para peserta tentang bidang kewartawanan dengan kemahiran menghidu berita, mewawancara, mengumpulkan dan menyediakan maklumat serta menulis laporan berita dan rencana.

Rata-rata peserta program sangat berpuas hati dengan penganjuran program yang julung-julung kali diadakan di Kota Kinabalu dan berharap ianya dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

“Program ini sangat berguna dan memberi impak kepada kami. Semoga dakwah di Sabah terus berkembang seiring dengan kehebatan media,” kata Mohd NoorulHazrey  Saimin, 26,  salah seorang peserta program, yang juga pengurus Yayasan Ikhlas cawangan Sabah.


“Saya berharap melalui bengkel-bengkel sebegini, kita dapat melahirkan wartawan-wartawan ummah yang hebat yang mampu melawan media liberal. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada panel jemputan atas kesudian menjadi mentor Bengkel Kewartawanan Ummah di Kota Kinabalu ini,” ujar Ustaz Dr Sarip Adul, YDP Isma KK dalam ucapan penutup.

Read More

Saturday, February 20, 2016

PEMBINA Sabah

PEMBINA Sabah Laksana Program Berbentuk Motivasi kepada Pelajar SMK Kudat 2


Oleh Anis Sakinah binti Lokman Hakim






KUDAT, 20 Feb – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Sabah telah melaksanakan sebuah program berbentuk motivasi iaitu program ‘Journey to the Big Dream’ di SMK Kudat 2, baru-baru ini, yang telah dihadiri seramai 72 orang peserta  daripada pelajar Tingkatan 5.

Beberapa slot telah diperkenalkan seperti Aku Semut Berjiwa Besar, Biar Mimpi Sampai ke Syurga, Aku Bukan Superman dan Rahsia Hatiku yang mana ianya lebih menekankan tentang aspek pengisian rohani, intelek serta memperluaskan lagi konsep matlamat hidup dalam diri seorang pelajar.

“Program ini sangat memberi motivasi kepada pelajar-pelajar untuk terus memperbaiki kelemahan-kelemahan yang mereka ada disamping menggalakkan mereka untuk membuat persiapan sebelum menghadapi peperiksaan besar”, ujar salah seorang Guru Kaunseling sekolah itu.

“Hebat sungguh program Journey to the Big Dream ini. Program ini amat memberi kesan yang mendalam sekali terhadap diri kami. Semoga program sebegini dapat diteruskan lagi dari masa ke semasa”, kata salah seorang peserta, Mohammad Izzuddin bin Anuar.

Journey to the Big Dream juga telah menjelajah ke beberapa buah sekolah sekitar Sabah sebelum ini. Antara sekolah yang pernah terlibat adalah SMK Pekan Telipok, SMK Datu Peter Mojuntin dan SMK Tansau. Program ini juga pernah dibuat bersama Tingkatan 3 yang akan menghadapi PT3 akan datang dan ia akan diteruskan mengikut permintaan sekolah-sekolah yang berminat.  


Read More

Monday, December 21, 2015

PEMBINA Sabah

Teach the Needy: Mahasiswa Beri Kelas Bimbingan Percuma


Oleh : Anis Sakinah Lokman Hakim


KOTA KINABALU, 21 Dis – Seramai 60 orang mahasiswa dan mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang terdiri daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi Mara (UiTM), dan Institut Kemahiran Mara (IKM) telah menyertai sebuah program sukarelawan, ‘Teach the Needy: Smart Learning Charity with Needy Ones’ anjuran Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Sabah yang memberikan khidmat kelas bimbingan secara percuma kepada anak-anak peniaga pasar malam di Kg. Air, Kota Kinabalu. Program ini telah dijalankan sebanyak dua siri iaitu pada 5 Disember dan 19 Disember yang lepas.






Menurut Pengarah Program, Wahidatul Husna Zuldin berkata, program ini diadakan bertujuan bagi memberi kesedaran kepada belia khususnya mahasiswa dan mahasiswi universiti dalam membantu golongan yang memerlukan serta mengajak para belia untuk bersama-sama dalam membangunkan masyarakat setempat.

“Usaha sebegini harus diteruskan pada masa akan datang kerana banyak kebaikannya dari sudut agama dan kemanusiaan serta kedua-dua pihak akan dapat manfaat bersama”, kata Encik Razak Duasi, Pengerusi Rukun Tetangga di kawasan berdekatan setelah tertarik melihat intipati program ini.

Ketua Beliawanis PEMBINA UMS, Nur Aina Natasha Mohd Asmadi menyifatkan program ini telah mendapat sambutan yang sangat mengalakkan daripada penglibatan para mahasiswa, peniaga-peniaga dan yang paling penting anak-anak kecil yang berjiwa besar untuk menimba ilmu.

“SubhanAllah, saya sangat kagum melihat semangat adik-adik ini. InshaaAllah PEMBINA beraktivisme membantu masyarakat”, katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi PEMBINA Sabah, Dr Ikmal bin Kamil juga menambah bahawa program seperti ini dapat memupuk semangat persaudaraan serta kesukarelawan di kalangan mahasiswa dan mahasiswi universiti.
Untuk pengetahuan program ini juga melaksanakan aktiviti sampingan iaitu memberi bantuan makanan kepada gelandangan di sekitar Sinsuran, Kota Kinabalu.
“Menjadi cabaran buat PEMBINA Sabah selepas ini untuk memikirkan bagaimana usaha kami dalam membantu meningkatkan kualiti hidup gelandangan”, ujarnya.




Read More

Tuesday, November 10, 2015

PEMBINA Sabah

Program Hiking Beliawanis PEMBINA Sabah



Oleh : Anis Sakinah Lokman Hakim




SEPANGGAR, 10 Nov - Seramai lebih kurang 20 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Sabah termasuklah mahasiswa UMS dan ILP Kota Kinabalu telah berjaya menawan Bukit Botak, Sepanggar. 

Program ini selain bertujuan memenuhi objektif Pakej Rekreasi yang ditawarkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), ia juga turut dapat memberi pengalaman baru buat para peserta dan juga menambah nilai ukhuwwah di antara beliawanis PEMBINA Sabah.

Perjalanan bermula pada pukul 7.30 pagi dan mengambil masa kira-kira 2 jam untuk sampai ke puncak bukit. Sesampainya di puncak, semua peserta seolah terpukau dengan pemandangan yang dapat dilihat dari puncak Bukit Botak itu sendiri. “Perjalanan yang sukar tadi, dibayar dengan lebih mahal dan memuaskan hati!”, kata salah seorang peserta.

Sesi tazkirah telah disampaikan oleh Ukhti Wahidatul Husna yang mengajak para peserta untuk mentadabbur keindahan alam sekeliling dan mengaitkannya dengan kata-kata cinta Allah dari Al-Quran. Beliau juga berkongsi pengalaman semasa memanjat bukit dan kepentingan menjaga syariat Islam ketika bermusafir dan dalam apa jua keadaan. Misi menawan Bukit Botak ini telah berakhir pada pukul 11.00 pagi.

“Banyak pengalaman yang saya dapat sepanjang aktiviti ini. Antara perkara yang dapat saya pelajari adalah, jangan mudah berputus asa. Tidak ada jalan yang mudah dan kita pasti akan menempuh kesukaran. Sebenarnya semua boleh berjaya jika yakin menempuhnya, tetapi jauh lebih mudah bila ditempuhi bersama.”, komen Nurul Emyra, salah seorang ahli PEMBINA UMS.

Diharapkan agar program seperti ini dapat dianjurkan lagi pada masa hadapan bersama ahli-ahli PEMBINA Sabah yang lain serta mempelbagaikan program riadah yang diselitkan dengan sesi pengisian ilmiah dan islamik.
Read More